Selasa, April 22, 2008

Meratapi Andalus Demi Merapatkan Umat


Permusuhan, kesenangan serta kecintaan terhadap dunia faktor keruntuhan kerajaan Islam di Sepanyol

Menangislah anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki." Begitulah ucapan seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah (H) yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.

Bani al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada daripada 620 H hingga 897 H, pada tahun di mana perjanjian di atas dimeterai. Perjanjian yang membabitkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol yang pada akhirnya tidak pernah direalisasikan bahkan selepas 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya selama 800 tahun.

Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 H. Pada masa itu ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah selepas tentera Kristian membunuh mereka.

Sebelum itu, ketika mereka bersembunyi di dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang keperluan masing-masing.

Tentera Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin meninggalkan Sepanyol terjamin.

Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran itu.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun, ada umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing.

Selepas ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya.

Ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung mereka dengan pedang terhunus.

Selepas menerima arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Banyak cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashurnya al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.

Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara itu.

Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan dan tidak ada belas kasihan. Orang Kristian di Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi. Oleh itu kita dapati umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim kerana terlalu perit dugaan yang dialami mereka.

Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur. Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.

Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.

Penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: "Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya."

Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil.

Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluk Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya.

Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke
Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.

Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani 'Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.

Sebagai contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika rakyatnya memberontak dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu memadamkan pemberontakan itu. Sebagai habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar 'jizyah' tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.

Lapan ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam 'menghidupkan' Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu. Sepanyol sekarang adalah Sepanyol yang mempunyai seorang menteri pertahanan wanita, Carme Chacon yang boleh memeriksa barisan tentera negaranya walaupun dalam keadaan hamil seperti dilaporkan akhbar pada 14 April lalu.

Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara.

Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana. Dan ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan tulisan ini akan terdengar kembali. Wallahu a'lam.

Petikan:

Akhbar Berita Minggu, 20 April 2008, ruangan Ulul Albab, Meratapi Andalus Demi Merapatkan Umat oleh Abdurrahman Haqqi



Hayatilah lagu ini...

Maassalamah Ya Andalus - Far East



Maka tersebutlah suatu daerah
Tersergam megah azannya bergema
Keagungannya, kemasyhurannya
Merentas seluruh dunia fana
Dan bersemaraklah cahaya-Mu Yang Esa
Bagai azimat untuk seluruh umat

Kehancuran yang mendatang
Kerna alpa dan prasangka jiwa lara
Harus kau ingat dari musibahmu
Datang bencana kerana kau lupa

Andalusia tinggal sejarah
Kekufuranmu terkubur semua

Haruslah kau beringat
Musibah yang melanda
Bencana dan merana kita lupa

Ada teladan dari kegagalan
Untukmu insan jadikan pedoman

Selamat tinggal Andalusia
Yang rebah tersungkur ke dada bumi
Selamat tinggal Andalusia
Mungkinkah dapatku kembalikan sinarmu.

Lagu: Johari Teh
Lirik: Ahmad Fadzli

Sabtu, Maret 08, 2008

Institusi Ulama Di Era Pemerintahan Uthmaniyyah

Ulama mempunyai kedudukan yang penting dan istimewa di dalam era pemerintahan Uthmaniyyah. Ia menjadi institusi yang bukan sahaja dihormati oleh massa, malah menjadi teras dan sumber kekuatan serta kewibawaan para Sultan itu sendiri. Hal ini boleh dirujuk seawal zaman terasasnya pemerintahan Uthmaniyyah, tatkala Osman Gazi (1300 – 1326) menyampaikan wasiat akhirnya kepada pewaris takhka Orhan (1326 – 1362) sebagaimana yang dicatatkan oleh Aşık Çelebi:

“Wahai anakku, janganlah sekali-kali kamu menyibukkan diri melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan oleh Allah Tuhan semesta alam. Jika kamu menghadapi sebarang kesulitan di dalam pemerintahan, maka bermesyuaratlah kamu dengan pada Ulama' untuk mencari jalan penyelesaian""Wahai anakku, rendahkanlah dirimu dengan kemuliaan kepada orang-orang yang mentaatimu serta peliharalah kebajikan tenteramu. Janganlah sekali-kali kamu diperdayakan oleh Syaitan dengan (kekuatan) tentera dan hartamu. Dan janganlah kamu sekali-kali menjauhkan diri daripada Ahli Syariah...""Wahai anakku, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa matlamat kita adalah keredhaan Allah Tuhan semesta alam. Sesungguhnya jihad itu menyebarkan cahaya sinaran agama kita ke segenap penjuru. Dengan demikian itulah terhasilnya Mardhatillah Jalla Jalaaluh...""Wahai anakku, kita bukanlah dari kalangan mereka yang berperang kerana syahwat mahukan kuasa atau menawan manusia. Sesungguhnya kita ini hidup dengan Islam dan dengan Islam jualah kita mati. Dan hakikat inilah wahai anakku, kamu itu adalah ahlinya!"

Nasihat Osman Gazi kepada anakandanya Orhan, menjadi batu asas kepada corak pemerintahan Othmaniyyah. Ia juga telah mengikat Ulama dan Institusi Syariah agar terus menjadi tiang seri tempat bersumbernya kekuatan dan pengaruh Sultan.

Memahami fungsi dan peranan institusi Ulama’ Uthmaniyyah adalah sebahagian daripada subjek penting di dalam memahami tabiat pentadbiran malah polisi-polisi yang dihasilkan di era Othmaniyyah. Secara ringkasnya, Institusi Penguatkuasaan Agama Islam di dalam pemerintahan Uthmaniyyah boleh dikemukakan seperti berikut:

1. Sheikh al-Islam
2. Para Qadhi di pelbagai peringkat dan kedudukan
3. Para Mufti
4. Sarjana Syariah dan Usul al-Deen
5. Institusi Perguruan di Madrasah-madrasah Islamiah

Sheikh al-Islam merupakan jawatan keagamaan tertinggi di dalam institusi Ulama’ di era Othmaniyyah. Kadang-kadang jawatan itu disebut sebagai Mufti al-‘Âsimah atau juga sebagai al-Mufti al-Akbar. Kedudukannya yang tinggi dan penting, menjadikan Sadr-ı azam (Perdana Menteri), para menteri, malah Sultan sendiri sering mengambil kira pandangan Sheikh al-Islam di dalam pelbagai urusan yang besar dan penting.

Pengaruh besar Sheikh al-Islam adalah paling menonjol pada bidang kuasanya yang boleh mengeluarkan fatwa untuk menurunkan mana-mana Sultan yang didapati sama ada menyeleweng daripada tanggungjawabnya melaksanakan hukum Syariat Islam, atau sekiranya Sultan ditimpa penyakit, khususnya penyakit mental yang tiada lagi diharapkan sembuhnya.

Contoh dapat dilihat pada peristiwa Sheikh al-Islam memfatwakan agar Sultan Selim III (1789 – 1808) dipecat kerana merombak haikal Tentera Othmaniyyah kepada sistem Barat (baca sebagai non-Islamik). Fatwa tersebut berbunyi, “Sesungguhnya setiap Sultan yang bertanggungjawab mengimport masuk sistem-sistem asing (non-Islamik) dan memaksa rakyat patuh kepada sistem itu, tidak boleh menjadi pemerintah!”. Hasil fatwa Sheikh al-Islam itu, Sultan Selim III telah dipecat dan kemudiannya dibunuh oleh tentera Yeni Çeri (Janissaries).
Fatwa kedua yang boleh diperhatikan adalah fatwa Sheikh al-Islam yang dikeluarkan pada tahun 1876 untuk memecat Sultan Abdul Aziz (1861 – 1876) berasaskan kepada sikap borosnya yang membawa kepada mengikat perjanjian meminjam sejumlah wang daripada institusi kewangan di Paris dan London. Beliau juga dilihat tidak berupaya melaksanakan tugasnya sebagai ketua negara. Pemecatan Sultan Abdul Aziz berlaku sehari selepas fatwa tersebut dikeluarkan.

Jawatan Sheikh al-Islam telah dimansuhkan apabila sistem Kesultanan dibubarkan pada tahun 1922. Ketika mana Khilafah Othmaniyyah dibubarkan sepenuhnya pada tahun 1924, Republik Turki telah menggantikan jawatan Sheikh al-Islam dengan satu badan pentadbiran baru yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri di Ankara. Ketua kepada jabatan ini dikenali sebagai Diyanet İşleri Reis (Ketua Hal Ehwal Agama) dan dianggap sebagai ketua kepada semua kakitangan keagamaan di Republik Turki.

Dipetik dari:

Kertas kerja Seminar Di Ambang Keruntuhan Othmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah oleh Hasrizal Abdul Jamil

Senin, Maret 03, 2008

Kemerosotan Turki Uthmaniyyah

Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mencapai kemuncak kegemilangannya di era pemerintahan Sultan Suleyman I (1520 – 1566). Ketika itu pemerintahan Uthmaniyyah mencakupi kawasan sejauh Eropah Tengah ke Lautan Hindi dan ia dianggap sebagai kuasa terbesar dunia. Di dalam sebuah manuskrip bertarikh 1538, Sultan Suleyman I telah meluahkan pandangannya terhadap penguasaan beliau kepada kuasa dunia:

“Beta adalah hamba Allah dan Sultan kepada dunia ini. Dengan limpah kurniaan Allah, beta menjadi ketua umat Muhammad. Kekuasaan Allah dan mukjizat Rasulullah menjadi teman beta. Beta adalah Süleyman, yang namanya dibacakan di dalam Khutbah di Makkah dan Madinah. Di Baghdad beta adalah Shah. Di tanah Byzantine, beta adalah Caesar. Di Mesir pula beta adalah Sultan; yang menghantar armada tenteranya ke perairan Eropah, Maghribi dan India. Beta adalah Sultan yang merampas mahkota dan takhta Hungary, untuk diberikan kepada hamba yang tunduk. Voivoda Petru cuba mengangkat kepalanya untuk menentangku, tetapi telapak kaki kudaku telah memijaknya tenggelam menjadi debu. Beta jugalah yang telah menawan tanah Moldavia
[i]”.

Walau bagaimana pun, selepas berlakunya peperangan yang berterusan, kesatuan yang berlaku di antara kuasa-kuasa Eropah, pengkhianatan kerajaan Safavid Syiah di Iran dan pelbagai lagi faktor, keperkasaan Uthmaniyyah mula merintis graf menurun.

Punca Kemerosotan Turki Uthmaniyyah

Sebab-sebab yang membawa kepada kemerosotan dan kejatuhan Uthmaniyyah adalah pelbagai, namun semuanya terangkum di dalam satu kenyataan iaitu, “menjauhkan diri dari kepatuhan kepada Syariat Allah dan menghukum dengannya”. Ia dapat dilihat di pelbagai sudut seperti sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.

Hal inilah yang mengundang musibah sebagaimana yang telah pun diperingatkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

“Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahNya, beringat serta berjaga-jaga supaya jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Noor 24: 63)

Kelakuan-kelakuan yang menyimpang oleh Sultan-sultan Othmaniyyah di akhir usia pemerintahan, telah memberikan impak yang negatif kepada umat Islam. Kehidupan mereka yang tenggelam di dalam arus materialisma dan Jahiliah telah menjadikan diri dan masyarakat hidup dalam keresahan, celaru dan hilang jati diri.

Hal ini berlaku seiringan dengan kebangkitan musuh Othmaniyyah, sama ada di Barat, mahu pun Timur seperti kerajaan Safavid Syiah di Iran. Pada tahun 1599, Shah Abbâs dari Iran telah menghantar dutanya ke Eropah dan membuka kepada perbincangan ketenteraan dan ekonomi ke arah menekan Othmaniyyah secara langsung. Di Vienna, hasrat ini disambut oleh Maharaja dengan baik. Beliau menyatakan keinginan untuk membentuk suatu gagasan anti-Othmaniyyah bersama Russia dan Georgia di Timur, dan dalam masa yang sama akan bekerja keras ke arah menyatukan Raja-raja Kristian di Eropah di dalam satu Perang Salib yang bakal dilancarkan.

1603, perang besar-besaran dilancarkan dan tekanan serentak Timur dan Barat telah membinasakan Othmaniyyah. Bebanan Austria dan Parsi ini telah menjadi sumber luar yang utama kepada ketidakstabilan Othmaniyyah pada era tersebut.

Akan tetapi amat menarik untuk kita meneliti, apakah perbalahan tentang isu yang cuba diketengahkan oleh seminar ini pernah berlaku di era Othmaniyyah. Pernahkan masyarakat Othmaniyyah ‘diganggu’ oleh pertembungan pandangan di antara Salaf dan Khalaf? Seandainya ya, apakah pelajaran yang boleh kita pelajari daripadanya?


Dipetik dari:
(Kertas kerja Seminar Di Ambang Keruntuhan Othmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah oleh Hasrizal Abdul Jamil)

Minggu, Maret 02, 2008

Menyusuri Taman Sejarah


Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mencapai kemuncak kegemilangannya di era pemerintahan Sultan Suleyman I (1520 – 1566). Ketika itu pemerintahan Othmaniyyah mencakupi kawasan sejauh Eropah Tengah ke Lautan Hindi dan ia dianggap sebagai kuasa terbesar dunia. Di dalam sebuah manuskrip bertarikh 1538, Sultan Süleyman I telah meluahkan pandangannya terhadap penguasaan beliau kepada kuasa dunia.

Walau bagaimana pun, selepas berlakunya peperangan yang berterusan, kesatuan yang berlaku di antara kuasa-kuasa Eropah, pengkhianatan kerajaan Safavid Syiah di Iran dan pelbagai lagi faktor, keperkasaan Uthmaniyyah mula merintis graf menurun.

Bagi sebahagian umat, Patani mungkin hanya sebuah nostalgia negeri Melayu. Orang-orang yang memperhatikan peta Asia Tenggara sekarang akan mengetahui bahawa sebuah negeri yang dulu berjaya kini telah hilang dan tinggal kenangan.
Berbeza dengan nasib negeri lainnya seperti Bosnia, Palestin, Chechnya atau Kashmir yang tak pernah sepi dari pemberitaan. Patani telah ditakdirkan menjadi sebuah negeri yang dilupakan orang, sepi dan tidak naik panggung. Namanya hanya terdapat pada peta dan dokumen lama saja. Demikian juga dengan orang Patani, hilang dan tak dikenal.
Tanah Melayu telah menerima Islam kira-kira 700 tahun dahulu hasil usaha para pendakwah yang tidak mengenal penat dan lelah menyampaikan agama Allah kepada kita. Mereka meninggalkan tanah air dan merantau ke serata pelusuk dunia bagi menyebarkan ajaran Tauhid.
Apa yang perlu kita lihat disini ialah kejayaan para ulama ini dalam menyampaikan dakwahnya sehingga seluruh Alam Melayu atau Nusantara dapat diIslamkan. Dakwah yang mereka bawa bukannya dengan pedang tetapi dengan kebijaksanaan. Mereka begitu dihormati sehingga orang Melayu yang kuat berpegang pada agama Hindu dan Buddha telah berjaya diIslamkan. Bukan sekadar rakyat jelata tetapi juga di kalangan raja-raja.
Brunei merupakan sebuah negara atau wilayah Melayu tulen, berdaulat, dan merdeka berlandaskan ajaran Islam. Pengasas Brunei Darussalam sebagai negara Islam ialah Sultan Omar Ali Saifuddin. Sultan Omar Ali Saifuddin juga merupakan pejuang kemerdekaan negara Brunei.
Baginda bukan sahaja didedahkan dengan adat istiadat Melayu tetapi baginda juga telah melalui pendidikan Islam dengan mendalam. Baginda telah khatam al-Quran sebanyak 40 kali. Baginda mendapat ilmu agama dengan memahami segala hukum hakam daripada ramai guru. Guru-guru agama ini kemudiannya menjadi pakar rujuk kepada baginda dalam segala urusan yang berkaitan dengan agama Islam. Teruskan perjalanan anda, menyusuri sejarah melalui taman ke taman pada perjalanan seterusnya melalui Taman Sejarah Turki Uthmaniyah, Taman Sejarah Patani, Taman Sejarah Tanah Melayu dan banyak lagi.