Sabtu, Maret 08, 2008

Institusi Ulama Di Era Pemerintahan Uthmaniyyah

Ulama mempunyai kedudukan yang penting dan istimewa di dalam era pemerintahan Uthmaniyyah. Ia menjadi institusi yang bukan sahaja dihormati oleh massa, malah menjadi teras dan sumber kekuatan serta kewibawaan para Sultan itu sendiri. Hal ini boleh dirujuk seawal zaman terasasnya pemerintahan Uthmaniyyah, tatkala Osman Gazi (1300 – 1326) menyampaikan wasiat akhirnya kepada pewaris takhka Orhan (1326 – 1362) sebagaimana yang dicatatkan oleh Aşık Çelebi:

“Wahai anakku, janganlah sekali-kali kamu menyibukkan diri melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan oleh Allah Tuhan semesta alam. Jika kamu menghadapi sebarang kesulitan di dalam pemerintahan, maka bermesyuaratlah kamu dengan pada Ulama' untuk mencari jalan penyelesaian""Wahai anakku, rendahkanlah dirimu dengan kemuliaan kepada orang-orang yang mentaatimu serta peliharalah kebajikan tenteramu. Janganlah sekali-kali kamu diperdayakan oleh Syaitan dengan (kekuatan) tentera dan hartamu. Dan janganlah kamu sekali-kali menjauhkan diri daripada Ahli Syariah...""Wahai anakku, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa matlamat kita adalah keredhaan Allah Tuhan semesta alam. Sesungguhnya jihad itu menyebarkan cahaya sinaran agama kita ke segenap penjuru. Dengan demikian itulah terhasilnya Mardhatillah Jalla Jalaaluh...""Wahai anakku, kita bukanlah dari kalangan mereka yang berperang kerana syahwat mahukan kuasa atau menawan manusia. Sesungguhnya kita ini hidup dengan Islam dan dengan Islam jualah kita mati. Dan hakikat inilah wahai anakku, kamu itu adalah ahlinya!"

Nasihat Osman Gazi kepada anakandanya Orhan, menjadi batu asas kepada corak pemerintahan Othmaniyyah. Ia juga telah mengikat Ulama dan Institusi Syariah agar terus menjadi tiang seri tempat bersumbernya kekuatan dan pengaruh Sultan.

Memahami fungsi dan peranan institusi Ulama’ Uthmaniyyah adalah sebahagian daripada subjek penting di dalam memahami tabiat pentadbiran malah polisi-polisi yang dihasilkan di era Othmaniyyah. Secara ringkasnya, Institusi Penguatkuasaan Agama Islam di dalam pemerintahan Uthmaniyyah boleh dikemukakan seperti berikut:

1. Sheikh al-Islam
2. Para Qadhi di pelbagai peringkat dan kedudukan
3. Para Mufti
4. Sarjana Syariah dan Usul al-Deen
5. Institusi Perguruan di Madrasah-madrasah Islamiah

Sheikh al-Islam merupakan jawatan keagamaan tertinggi di dalam institusi Ulama’ di era Othmaniyyah. Kadang-kadang jawatan itu disebut sebagai Mufti al-‘Âsimah atau juga sebagai al-Mufti al-Akbar. Kedudukannya yang tinggi dan penting, menjadikan Sadr-ı azam (Perdana Menteri), para menteri, malah Sultan sendiri sering mengambil kira pandangan Sheikh al-Islam di dalam pelbagai urusan yang besar dan penting.

Pengaruh besar Sheikh al-Islam adalah paling menonjol pada bidang kuasanya yang boleh mengeluarkan fatwa untuk menurunkan mana-mana Sultan yang didapati sama ada menyeleweng daripada tanggungjawabnya melaksanakan hukum Syariat Islam, atau sekiranya Sultan ditimpa penyakit, khususnya penyakit mental yang tiada lagi diharapkan sembuhnya.

Contoh dapat dilihat pada peristiwa Sheikh al-Islam memfatwakan agar Sultan Selim III (1789 – 1808) dipecat kerana merombak haikal Tentera Othmaniyyah kepada sistem Barat (baca sebagai non-Islamik). Fatwa tersebut berbunyi, “Sesungguhnya setiap Sultan yang bertanggungjawab mengimport masuk sistem-sistem asing (non-Islamik) dan memaksa rakyat patuh kepada sistem itu, tidak boleh menjadi pemerintah!”. Hasil fatwa Sheikh al-Islam itu, Sultan Selim III telah dipecat dan kemudiannya dibunuh oleh tentera Yeni Çeri (Janissaries).
Fatwa kedua yang boleh diperhatikan adalah fatwa Sheikh al-Islam yang dikeluarkan pada tahun 1876 untuk memecat Sultan Abdul Aziz (1861 – 1876) berasaskan kepada sikap borosnya yang membawa kepada mengikat perjanjian meminjam sejumlah wang daripada institusi kewangan di Paris dan London. Beliau juga dilihat tidak berupaya melaksanakan tugasnya sebagai ketua negara. Pemecatan Sultan Abdul Aziz berlaku sehari selepas fatwa tersebut dikeluarkan.

Jawatan Sheikh al-Islam telah dimansuhkan apabila sistem Kesultanan dibubarkan pada tahun 1922. Ketika mana Khilafah Othmaniyyah dibubarkan sepenuhnya pada tahun 1924, Republik Turki telah menggantikan jawatan Sheikh al-Islam dengan satu badan pentadbiran baru yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri di Ankara. Ketua kepada jabatan ini dikenali sebagai Diyanet İşleri Reis (Ketua Hal Ehwal Agama) dan dianggap sebagai ketua kepada semua kakitangan keagamaan di Republik Turki.

Dipetik dari:

Kertas kerja Seminar Di Ambang Keruntuhan Othmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah oleh Hasrizal Abdul Jamil

Senin, Maret 03, 2008

Kemerosotan Turki Uthmaniyyah

Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mencapai kemuncak kegemilangannya di era pemerintahan Sultan Suleyman I (1520 – 1566). Ketika itu pemerintahan Uthmaniyyah mencakupi kawasan sejauh Eropah Tengah ke Lautan Hindi dan ia dianggap sebagai kuasa terbesar dunia. Di dalam sebuah manuskrip bertarikh 1538, Sultan Suleyman I telah meluahkan pandangannya terhadap penguasaan beliau kepada kuasa dunia:

“Beta adalah hamba Allah dan Sultan kepada dunia ini. Dengan limpah kurniaan Allah, beta menjadi ketua umat Muhammad. Kekuasaan Allah dan mukjizat Rasulullah menjadi teman beta. Beta adalah Süleyman, yang namanya dibacakan di dalam Khutbah di Makkah dan Madinah. Di Baghdad beta adalah Shah. Di tanah Byzantine, beta adalah Caesar. Di Mesir pula beta adalah Sultan; yang menghantar armada tenteranya ke perairan Eropah, Maghribi dan India. Beta adalah Sultan yang merampas mahkota dan takhta Hungary, untuk diberikan kepada hamba yang tunduk. Voivoda Petru cuba mengangkat kepalanya untuk menentangku, tetapi telapak kaki kudaku telah memijaknya tenggelam menjadi debu. Beta jugalah yang telah menawan tanah Moldavia
[i]”.

Walau bagaimana pun, selepas berlakunya peperangan yang berterusan, kesatuan yang berlaku di antara kuasa-kuasa Eropah, pengkhianatan kerajaan Safavid Syiah di Iran dan pelbagai lagi faktor, keperkasaan Uthmaniyyah mula merintis graf menurun.

Punca Kemerosotan Turki Uthmaniyyah

Sebab-sebab yang membawa kepada kemerosotan dan kejatuhan Uthmaniyyah adalah pelbagai, namun semuanya terangkum di dalam satu kenyataan iaitu, “menjauhkan diri dari kepatuhan kepada Syariat Allah dan menghukum dengannya”. Ia dapat dilihat di pelbagai sudut seperti sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.

Hal inilah yang mengundang musibah sebagaimana yang telah pun diperingatkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

“Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahNya, beringat serta berjaga-jaga supaya jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Noor 24: 63)

Kelakuan-kelakuan yang menyimpang oleh Sultan-sultan Othmaniyyah di akhir usia pemerintahan, telah memberikan impak yang negatif kepada umat Islam. Kehidupan mereka yang tenggelam di dalam arus materialisma dan Jahiliah telah menjadikan diri dan masyarakat hidup dalam keresahan, celaru dan hilang jati diri.

Hal ini berlaku seiringan dengan kebangkitan musuh Othmaniyyah, sama ada di Barat, mahu pun Timur seperti kerajaan Safavid Syiah di Iran. Pada tahun 1599, Shah Abbâs dari Iran telah menghantar dutanya ke Eropah dan membuka kepada perbincangan ketenteraan dan ekonomi ke arah menekan Othmaniyyah secara langsung. Di Vienna, hasrat ini disambut oleh Maharaja dengan baik. Beliau menyatakan keinginan untuk membentuk suatu gagasan anti-Othmaniyyah bersama Russia dan Georgia di Timur, dan dalam masa yang sama akan bekerja keras ke arah menyatukan Raja-raja Kristian di Eropah di dalam satu Perang Salib yang bakal dilancarkan.

1603, perang besar-besaran dilancarkan dan tekanan serentak Timur dan Barat telah membinasakan Othmaniyyah. Bebanan Austria dan Parsi ini telah menjadi sumber luar yang utama kepada ketidakstabilan Othmaniyyah pada era tersebut.

Akan tetapi amat menarik untuk kita meneliti, apakah perbalahan tentang isu yang cuba diketengahkan oleh seminar ini pernah berlaku di era Othmaniyyah. Pernahkan masyarakat Othmaniyyah ‘diganggu’ oleh pertembungan pandangan di antara Salaf dan Khalaf? Seandainya ya, apakah pelajaran yang boleh kita pelajari daripadanya?


Dipetik dari:
(Kertas kerja Seminar Di Ambang Keruntuhan Othmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah oleh Hasrizal Abdul Jamil)

Minggu, Maret 02, 2008

Menyusuri Taman Sejarah


Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mencapai kemuncak kegemilangannya di era pemerintahan Sultan Suleyman I (1520 – 1566). Ketika itu pemerintahan Othmaniyyah mencakupi kawasan sejauh Eropah Tengah ke Lautan Hindi dan ia dianggap sebagai kuasa terbesar dunia. Di dalam sebuah manuskrip bertarikh 1538, Sultan Süleyman I telah meluahkan pandangannya terhadap penguasaan beliau kepada kuasa dunia.

Walau bagaimana pun, selepas berlakunya peperangan yang berterusan, kesatuan yang berlaku di antara kuasa-kuasa Eropah, pengkhianatan kerajaan Safavid Syiah di Iran dan pelbagai lagi faktor, keperkasaan Uthmaniyyah mula merintis graf menurun.

Bagi sebahagian umat, Patani mungkin hanya sebuah nostalgia negeri Melayu. Orang-orang yang memperhatikan peta Asia Tenggara sekarang akan mengetahui bahawa sebuah negeri yang dulu berjaya kini telah hilang dan tinggal kenangan.
Berbeza dengan nasib negeri lainnya seperti Bosnia, Palestin, Chechnya atau Kashmir yang tak pernah sepi dari pemberitaan. Patani telah ditakdirkan menjadi sebuah negeri yang dilupakan orang, sepi dan tidak naik panggung. Namanya hanya terdapat pada peta dan dokumen lama saja. Demikian juga dengan orang Patani, hilang dan tak dikenal.
Tanah Melayu telah menerima Islam kira-kira 700 tahun dahulu hasil usaha para pendakwah yang tidak mengenal penat dan lelah menyampaikan agama Allah kepada kita. Mereka meninggalkan tanah air dan merantau ke serata pelusuk dunia bagi menyebarkan ajaran Tauhid.
Apa yang perlu kita lihat disini ialah kejayaan para ulama ini dalam menyampaikan dakwahnya sehingga seluruh Alam Melayu atau Nusantara dapat diIslamkan. Dakwah yang mereka bawa bukannya dengan pedang tetapi dengan kebijaksanaan. Mereka begitu dihormati sehingga orang Melayu yang kuat berpegang pada agama Hindu dan Buddha telah berjaya diIslamkan. Bukan sekadar rakyat jelata tetapi juga di kalangan raja-raja.
Brunei merupakan sebuah negara atau wilayah Melayu tulen, berdaulat, dan merdeka berlandaskan ajaran Islam. Pengasas Brunei Darussalam sebagai negara Islam ialah Sultan Omar Ali Saifuddin. Sultan Omar Ali Saifuddin juga merupakan pejuang kemerdekaan negara Brunei.
Baginda bukan sahaja didedahkan dengan adat istiadat Melayu tetapi baginda juga telah melalui pendidikan Islam dengan mendalam. Baginda telah khatam al-Quran sebanyak 40 kali. Baginda mendapat ilmu agama dengan memahami segala hukum hakam daripada ramai guru. Guru-guru agama ini kemudiannya menjadi pakar rujuk kepada baginda dalam segala urusan yang berkaitan dengan agama Islam. Teruskan perjalanan anda, menyusuri sejarah melalui taman ke taman pada perjalanan seterusnya melalui Taman Sejarah Turki Uthmaniyah, Taman Sejarah Patani, Taman Sejarah Tanah Melayu dan banyak lagi.